Bahagian 90: SJK(C) Chung San
Tokoh Berjasa Pembinaan Sekolah: ENCIK V. K. KALYANASUNDRAM Berdasarkan rekod sejarah sekolah, pada 1 Januari 1960, pihak sekolah telah merancang bagi membina bangunan sekolah fasa pertama. Disebabkan oleh ketiadaan lot tanah bagi pembinaan sekolah tersebut, maka Pengerusi Lembaga Pengelola iaitu Ng Chun bersama-sama dengan ahli lembaga pengelola iaitu Zhang Luan, Zhang Shun dan Zheng Guoshi telah menemui seorang peniaga berbangsa India iaitu V. K. Kalyanasundram bagi memohon sumbangan tanah bagi pembinaan sekolah. Beliau telah memberikan kebenaran serta dengan pemurahnya telah menyumbangkan sebidang tanah ladang seluas 3 ekar di Jalan Middleton, di samping turut menderma sebanyak 1,050 Ringgit sebagai tabung pembinaan sekolah. Meninjau semula sejarah sekolah, sumbangan V. K. Kalyanasundram terhadap pembangunan serta pembinaan sekolah ini sememangnya tidak boleh dinafikan, di mana sumbangan seorang rakan senegara berbangsa India di dalam memacu pendidikan bahasa Cina sebegini sememangnya sangat dikagumi. Beliau sangat layak digelar sebagai tokoh berjasa pembinaan sekolah.
Pada tahun 1968 lot tanah tersebut telah memperoleh geran (geran tanah), iaitu Lot 1959. Walau bagaimanapun semasa proses pembahagian geran dijalankan, disebabkan terdapat bangunan di bahagian hadapan serta belakangnya, maka selepas pembahagian dilakukan hanya tinggal 2 ekar tanah sahaja yang dikekalkan, manakala bakinya telah dimasukkan ke dalam lot tanah milik keluarga Wong yang berhampiran. Keluarga Wong tersebut kemudiannya telah memberikan bayaran pampasan kepada Lembaga Pengelola sebanyak 600 Ringgit bagi setiap ekar berdasarkan harga tanah pada masa tersebut.
Bangunan Sekolah yang Dahulu Selepas tentera Jepun menyerah kalah pada tahun 1947, sekolah tersebut dibuka semula dengan menyewa bangunan lama sebagai bangunan sekolah dalam keadaan yang sangat mencabar. Setelah melalui aliran masa serta perubahan zaman, empat puluh tahun telah berlalu dan kini bangunan kecil tersebut sudah pun seumpama seorang warga emas di penghujung usia yang dalam keadaan goyah serta kesunyian. Mengenang kembali masa tersebut di mana ramai pelajar pernah belajar bersama-sama serta saling bertukar idea di sini, serta ramai guru yang pernah memberikan bimbingan serta bekerja keras di sini secara senyap! Kini suasana riuh-rendah suara pembacaan di dalam bangunan kecil tersebut telah pun menghilang ditelan zaman. Di celah-celah semak samun masih terdapat saki-baki runtuhan bata dan jubin, dengan hanya tangga di tingkat dua sahaja yang masih kekal, di mana apabila mengenangkan semula kecekalan para leluhur di dalam mengasaskan serta menguruskan sekolah ini, ia sememangnya mendatangkan rasa kagum yang amat mendalam!
Sorotan Sejarah Pembangunan SJKC Chung San Rompin
Sekolah ini telah diasaskan pada tahun 1928, di mana sehingga kini ia telah pun mencecah usia 95 tahun. Nama sekolah asalnya ialah Sekolah Chung San Awam, dengan bangunan sekolah yang disewa daripada unit kedai. Tokoh yang mengetuai pengurusan sekolah pada masa tersebut ialah leluhur iaitu Presiden Zeng Sheng, dengan guru besar pertamanya ialah Encik Lai Fu Lin. Jumlah keseluruhan pelajar bagi sekolah tersebut hanyalah seramai 25 orang sahaja yang dibahagikan kepada 4 tahap kelas.
Pada awal tahun 1940, Guru Besar Lai telah meninggalkan sekolah ini bagi menuju ke Sekolah Menengah Foon Yew, Johor Bahru. Tidak lama kemudian meletusnya Perang Dunia Kedua di mana pencerobohan Jepun ke arah selatan serta pendudukan ke atas negara kita telah mengakibatkan sekolah ini terpaksa menghentikan operasinya.
Pada tahun 1945, pihak Jepun telah menyerah kalah sekali gus membawa keamanan semula kepada dunia. Pada tahun berikutnya, tokoh-tokoh terkemuka tempatan merangkumi Chen Huoyuan, Wu Furong, Qiu Li, Liao Huilong, Li Hongsheng, Lin Dongshan, Hu Zenghui, Huang Zuqian dan lain-lain telah berkumpul bagi membincangkan pembukaan semula sekolah. Mereka telah menyewa sebuah lagi unit kedai sebagai bangunan sekolah, di mana Guru Besar Liao Jieming telah dijemput oleh Encik Li bagi mengetuai urusan sekolah.
Pada tahun 1947, pengurusan sekolah telah diterajui oleh Lin Dongshan. Lokasi sekolah sekali lagi telah dipindahkan ke bangunan yang terletak bertentangan dengan pejabat pos baharu sekarang. Bangunan tersebut merupakan harta persendirian milik Encik Lin, di mana berdasarkan perjanjian tersebut, pihak sekolah dikehendaki bagi membayar sewa tahunan sebanyak 30 Ringgit.
Pada tahun 1948, disebabkan oleh situasi di dalam negara yang bergelora dan tidak tenang, kerajaan British telah melaksanakan Undang-undang Darurat. Pada masa tersebut pengurusan sekolah telah bertukar tangan dengan diterajui oleh Ng Chun, manakala Guru Besar Liao mengetuai urusan sekolah selama 7 tahun sehinggalah awal tahun 1952 apabila beliau meletak jawatan.
Pada tahun 1959, Guru Besar Peng Xingjie telah dilantik bagi mengetuai urusan sekolah selama 1 tahun. Pada tahun tersebut, ladang getah Tanah Panjis telah dijual secara pecah lot yang seterusnya menarik kemasukan ramai penduduk berbangsa Tionghua dari luar untuk berpindah ke sini. Justeru itu jumlah pelajar telah bertambah sehingga bangunan kecil tersebut tidak lagi mampu menampung mereka semua. Pihak sekolah memandangkan situasi ini telah bertindak menghantar surat kepada Jabatan Pendidikan bagi memohon penyertaan di dalam Skim Gaji Baharu serta memohon peruntukan kerajaan bagi pembinaan sekolah, namun permohonan tersebut tidak berjaya. Oleh itu buat sementara waktu mereka telah meminjam garaj kenderaan serta asrama pekerja yang tidak digunakan lagi daripada Jabatan Kerja Raya bagi diubah suai menjadi bilik darjah sementara.
Pada tahun 1981, pihak sekolah telah merancang bagi membina bangunan sekolah dua tingkat yang memerlukan kos pembinaan mencecah sehingga RM 200,000. Walau bagaimanapun, mereka hanya mendapat peruntukan sebanyak RM 20,000 sahaja daripada Kementerian Pendidikan. Disebabkan oleh jurang perbezaan dana yang sangat besar tersebut, ditambah pula dengan keadaan ekonomi yang suram menyebabkan kutipan derma menjadi sukar, maka rancangan pembinaan tersebut telah beberapa kali tertangguh sekali gus mengakibatkan pembangunan sekolah menjadi terbantut.
Pada 19 Mei 1983, pihak sekolah telah mengadakan satu mesyuarat bersama ahli lembaga pengelola serta para penderma bagi mencari jalan keluar daripada kemelut yang dihadapi tersebut. Selepas pertimbangan yang teliti dilakukan, keputusan dibuat bagi menjual lot tanah Lot 1959 melalui tawaran tender bagi memperoleh dana pembinaan sekolah. Tanah lapang yang telah terbiar selama lebih dua puluh tahun tersebut akhirnya melalui keputusan bijak di dalam mesyuarat tersebut telah berjaya dijual dengan harga RM 83,330. Seterusnya projek pembesaran sekolah segera dilaksanakan secara aktif, di mana bangunan sekolah dua tingkat yang hebat itu akhirnya berjaya disiapkan dengan sempurnanya.