Bahagian 95: Sejarah Sekolah Chi Sin
Sorotan Sejarah Sekolah Chi Sin
Sekolah Rendah Chi Sin Batu Kikir di Daerah Jempol, Negeri Sembilan telah diasaskan pada tahun 1938 oleh para leluhur Batu Kikir pada masa tersebut merangkumi Lai Tung Ming, Lee Siu Tin, Tang Lian Kwan, Siu Lin Fat, Chung Nam Kwan, Lin Chang dan lain-lain. Pada peringkat awal pembinaannya, segalanya dilakukan secara ringkas dengan menyewa sebuah pondok atap jenis unit kedai sebagai bangunan sekolah; dengan hanya mempunyai seorang atau dua orang guru sahaja manakala jumlah murid pula sangat sedikit. Walaupun urusan sekolah dijalankan di dalam keadaan yang serba kekurangan, namun proses pembelajaran tidak boleh dihentikan bagi membolehkan budaya dapat dimartabatkan!
Semasa pencerobohan tentera musuh ke arah selatan, pada mulanya sekolah ini terpaksa ditutup, namun kemudiannya ia dibuka semula di bawah ancaman dengan turut diwajibkan bagi mengajar bahasa musuh tersebut.
Selepas pemulihan keamanan (1946), sekolah ini telah digabungkan dengan sebuah lagi sekolah bernama Sekolah Zhen Nan dan dinamakan sebagai Sekolah Rendah Awam Chi Sin. Di kawasan tempatan selain daripada sekolah ini turut terdapat sebuah lagi sekolah persendirian iaitu Sekolah Menengah Zhen Nan. Bekas pengurus besar sekolah ini iaitu Encik Li Shaojun memandangkan urusan menguruskan sekolah serta penyelarasan pembinaan haruslah dilakukan melalui kerjasama erat orang ramai tanpa perlu ada perbezaan antara status awam atau persendirian, maka beliau telah berbincang dengan pemilik Sekolah Zhen Nan iaitu Encik Lin Zhangjun bagi menggabungkan sekolah tersebut ke dalam sekolah ini: Justeru itu sekolah ini telah menjadi satu-satunya sekolah Cina di kawasan setempat. Pada masa tersebut jumlah pelajar mencecah sehingga seratus lebih orang yang mana sebahagian besarnya adalah berbangsa Tionghua. Walau bagaimanapun selepas peperangan berlaku masalah kekurangan tenaga pengajar yang sangat serius, ditambah pula kedudukan sekolah yang berada di kawasan pedalaman menyebabkan usaha mencari bakat menjadi lebih sukar lagi: malah murid yang sedikit dibahagikan kepada banyak kelas, kemudahan yang serba kekurangan serta gaji yang rendah menyebabkan para guru tidak kekal lama, yang mendatangkan kerisauan kepada lembaga pengelola selain pencapaian murid yang merosot. Selepas Skim Gaji Baharu dilaksanakan, keadaan ekonomi sekolah mula menjadi stabil: disebabkan oleh skim gaji guru yang selaras serta perletakan jawatan yang perlu mendapat kelulusan lembaga pengelola, maka pertukaran guru di sekolah ini telah pun berkurangan.
Pada tahun 1956, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan memandangkan bangunan sekolah yang disewa tersebut sudah pun lama tidak diselenggara serta dalam keadaan goyah, di samping lokasinya yang terlalu dekat dengan bahu jalan yang membawa pelbagai risiko bahaya, maka di bawah dasar pendidikan membantu pembinaan sekolah di kampung baru, sekolah ini telah berjaya mendapat peruntukan bagi membina 4 buah bilik darjah serta 1 buah asrama, sekali gus meletakkan asas yang abadi buat sekolah ini. (Sekolah secara rasminya telah berpindah ke tapak sekarang pada Januari 1956 serta terus beroperasi sehingga kini.)
Selepas kemerdekaan, Lembaga Pengelola Sekolah telah disusun semula di bawah Akta Pendidikan baharu, di mana seorang dermawan yang bersemangat iaitu Yun Da Yuan telah terpilih sebagai pengerusi. Encik Yun dengan berbekalkan semangat kental beliau terhadap pendidikan telah memberikan banyak sumbangan kepada sekolah ini, dengan meminjamkan dana yang besar bagi membina pejabat pentadbiran, bilik tetamu, asrama dan sebagainya, selain kerap berhubung rapat dengan para ahli lembaga pengelola serta pejabat pengurusan sekolah bagi merancang rancangan pembangunan urusan sekolah dalam pelbagai aspek; walaupun pernah menerima pelbagai rintangan daripada pihak yang mempunyai niat yang tidak baik, namun mujurlah di bawah kerjasama ikhlas antara lembaga pengelola dengan guru-guru, rancangan asal tersebut akhirnya dapat dilaksanakan secara berperingkat.
Dari segi urusan kurikulum pula, selama bertahun-tahun ini di bawah perancangan guru besar serta penolong kanan sekolah iaitu mendiang Encik Shi Shihuo serta Encik Chen Renkun, bersama-sama para guru yang menjalankan tugas pengajaran dengan serius, jumlah murid terus bertambah dari tahun ke tahun di samping kualiti pendidikan yang semakin meningkat.
Pada tahun 1962, Guru Besar Shi Shihuo telah bersara dan digantikan oleh Guru Besar Cheng Hai-Chin. Jawatan pengerusi lembaga pengelola pula terus disandang oleh Yun Da Yuan. Di bawah kerjasama antara Guru Besar Cheng Hai-Chin dengan para ahli jawatankuasa lembaga pengelola, kemudahan perisian serta fizikal Sekolah Rendah Cina Chi Sin telah dinaik taraf secara berterusan. Gelanggang bola keranjang sekolah turut dibina pada tahun 1964 bagi manfaat para pelajar.
Antara tahun 1977 hingga 1995, Encik Yen Wen-Sheng telah dilantik sebagai guru besar. Jawatan pengerusi lembaga pengelola pula disandang oleh Encik Lin Yubiao serta Encik Chen Yonglin. Sepanjang 18 tahun kepimpinan Guru Besar Yen Wen-Sheng, dengan bantuan peruntukan kerajaan serta bantuan daripada individu-individu pemurah, sekolah ini telah berjaya menaik taraf banyak kemudahan fizikal serta perisian. Pihak sekolah turut mendapat peruntukan daripada Kementerian Pendidikan bagi urusan baik pulih tandas.
Antara tahun 1995 hingga 2001, Encik Shi Dan-Bei telah terpilih sebagai pengerusi lembaga pengelola sekolah. Dalam tempoh ini ibu kepada pengerusi lembaga pengelola tersebut iaitu Puan Lin Fengzhu yang merupakan seorang warga emas yang dermawan telah bertahun-tahun memberikan sumbangan kepada sekolah, selain menaja penambahan kemudahan fizikal dan perisian sekolah, beliau turut menyumbangkan dana bagi pelbagai aktiviti serta anugerah kecemerlangan akademik, sekali gus memberikan sumbangan yang besar di dalam membantu pelajar miskin serta mengekalkan pendidikan bahasa Cina di kawasan setempat.
Pada tahun 2015, di bawah kepimpinan Guru Besar Puan Leong Yoke Kwan, jumlah pelajar telah menunjukkan sedikit pertambahan. Guru Besar Leong telah memberikan sumbangan yang sangat besar di dalam memartabatkan integrasi budaya antara kaum. Pada tahun 2018, Sekolah Rendah Cina Chi Sin yang mempunyai 85% pelajar berbangsa Melayu telah berjaya menganjurkan satu majlis sambutan Pesta Mid-Autumn yang penuh dengan suasana integrasi budaya antara kaum, di mana pihak sekolah telah menjemput ibu bapa pelajar berbangsa Melayu untuk datang ke sekolah bagi menyertai aktiviti teka teka-teki tanglung serta perarakan tanglung. Seterusnya pada tahun 2019, satu majlis ramah mesra Tahun Baru Cina yang menonjolkan keharmonian serta integrasi antara kaum turut berjaya dianjurkan.
Pada tahun 2019, Puan Wen Xiu Juan telah menyandang jawatan guru besar. Pihak sekolah memandangkan bangunan sekolah yang sudah pun usang, struktur binaan yang mengalami kerosakan serta mendatangkan ancaman keselamatan kepada guru dan pelajar, maka bekas guru besar sekolah ini iaitu Puan Leong Yoke Kwan telah secara aktif memohon sumbangan derma daripada Yayasan Lee yang sangat mementingkan pendidikan, dan berjaya memperoleh sembilan puluh ribu Ringgit bagi tujuan kos baik pulih serta penaiktarafan bangunan sekolah.
Sehingga kini jumlah pelajar pernah mencapai tahap paling puncak pada tahun 70-an dan 80-an dengan seramai lebih 200 orang, namun menjelang tahun 90-an, jumlah pelajar berbangsa Tionghua mula menunjukkan kemerosotan dan keadaan menjadi semakin teruk sehingga kini hanya tinggal seramai 8 orang sahaja.
Sekolah ini pernah melalui 3 kali malapetaka yang mengakibatkan sebahagian masyarakat Tionghua berpindah keluar, pertamanya selepas meletusnya insiden 13 Mei pada tahun 1969 apabila ramai warga Tionghua meninggalkan pekan ini; seterusnya dua kali kejadian kebakaran pada tahun 90-an serta urusan penyusunan semula pekan yang sekali lagi mengakibatkan sebahagian masyarakat Tionghua berpindah, yang seterusnya menyebabkan jumlah warga Tionghua di Batu Kikir semakin berkurangan.
Semasa pembangunan semula Batu Kikir pada tahun 90-an, beberapa orang ibu bapa telah berpindah ke kawasan perumahan di sekelilingnya. Bagi memastikan sekolah tidak kehilangan murid, pengerusi lembaga pengelola sekolah pada masa tersebut iaitu Encik Chan Hon Kiat telah hadir sendiri bagi memandu kenderaan mengambil serta menghantar pelajar ke sekolah untuk mengikuti kelas.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini jumlah pelajar berbangsa Tionghua di SJKC Chi Sin merosot dari tahun ke tahun, di mana pada tahun 2017 jumlah pelajar jatuh ke tahap paling rendah dengan hanya seramai 27 orang sahaja yang mana di dalamnya hanya mengandungi 2 orang pelajar berbangsa Tionghua. Sekolah ini turut pernah melalui dua kali fasa kelas bercantum (multi-grade teaching). Kejayaan SJKC Chi Sin bagi keluar daripada fasa kelas bercantum ini adalah tidak terlepas daripada sumbangan keseluruhan ketiga-tiga badan utama sekolah serta para guru dan pelajar. Seiring dengan pertambahan jumlah pelajar sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pada tahun ini (2021) terdapat seramai 60 orang pelajar secara keseluruhan yang mana di dalamnya hanya terdapat 8 orang pelajar berbangsa Tionghua sahaja.
Sekolah ini telah ditubuhkan selama lebih 83 tahun. Pendidikan merupakan satu usaha jangka panjang bagi memupuk insan, sekali gus urusan menguruskan sekolah merupakan satu tanggungjawab yang sangat besar serta mencabar. Sepanjang 83 tahun ini, di bawah usaha gigih serta kerjasama erat para guru besar serta ahli jawatankuasa lembaga pengelola dari generasi ke generasi, kemudahan fizikal serta perisian sekolah telah dinaik taraf secara berterusan demi manfaat para pelajar.