Bahagian 44: SMK Bahau 2
SMK BAHAU 2 (Sekolah Menengah Kebangsaan Bahau 2) telah ditubuhkan pada 3 Januari 2001. Ia terletak di Kampung Baru Mahsan, Daerah Jempol, Negeri Sembilan, kira-kira 6 kilometer dari Bahau. Sekolah ini meliputi kawasan seluas kira-kira 5,122 hektar. Bangunan sekolah direka dalam bentuk segi empat sama dan terdiri daripada lima buah blok bangunan yang saling bersambung antara satu sama lain. Antaranya, tiga blok setinggi empat tingkat menempatkan bilik darjah dan makmal sains. Terdapat juga sebuah blok setinggi dua tingkat yang menyediakan bengkel kemahiran hidup bersepadu untuk pelajar, manakala sebuah lagi blok dua tingkat berfungsi sebagai blok pentadbiran dan pejabat guru. Di dalam kawasan sekolah turut merangkumi dua infrastruktur asas iaitu kantin yang menyediakan tempat makan dan interaksi bagi pelajar serta kakitangan, dan juga padang serbaguna yang membolehkan pelajar serta kakitangan menjalankan pelbagai aktiviti luar dan sukan.
Kumpulan pelajar pertama sekolah ini adalah seramai 152 orang, yang diajar oleh 10 orang guru. Pelajar-pelajar ini masing-masing berasal dari Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Kampung Baru Mahsan, SRJK(C) Chung Hua Ladang Geddes, SRJK(Tamil) Ladang Geddes, SRJK(C) Ladang Glendale, SRJK(C) Air Hitam, SRJK(C) Bahau, dan Sekolah Kebangsaan St. Aidan; di mana 56% adalah pelajar berbangsa Tionghua, 42% adalah pelajar berbangsa India, dan 2% adalah pelajar berbangsa Melayu. Sebelum bangunan sekolah siap dibina, pihak sekolah telah menggunakan kemudahan SRJK(C) Mahsan sebagai bilik darjah sementara. Pada masa tersebut, sebanyak 4 buah kelas telah dibuka iaitu sebuah kelas Peralihan dan tiga buah kelas Tingkatan 1, di mana kesemuanya adalah sesi petang. Selepas tempoh 6 bulan, barulah pelajar-pelajar ini dapat belajar di dalam bilik darjah milik sekolah sendiri.
Bangunan sekolah telah mula digunakan secara rasmi pada 25 Jun 2001. Seiring dengan itu, jumlah kelas telah bertambah kepada 21 buah, di mana salah sebuah daripadanya ialah kelas Peralihan. Walau bagaimanapun pada tahun 2021, disebabkan kemerosotan jumlah kemasukan pelajar, jumlah kelas telah berkurangan kepada 18 buah. Pada masa ini, sekolah tersebut mempunyai seramai 327 orang pelajar yang terdiri daripada 64 orang pelajar Melayu, 155 orang pelajar Tionghua, 103 orang pelajar India, serta 5 orang pelajar daripada etnik yang lain. Sepanjang sejarahnya, SMK Bahau 2 telah diterajui oleh lapan orang pengetua secara berturut-turut.