Bahagian 59: SMK Datuk Mansor Bahau
Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Mansor (SMK Datuk Mansor) merupakan sebuah sekolah menengah kebangsaan yang terletak di Kilometer 4, Jalan Juasseh, Bahau. Pada masa ini (2023), sekolah ini mempunyai seramai 529 orang pelajar lelaki dan 617 orang pelajar perempuan yang menuntut dari Kelas Peralihan sehingga Tingkatan 6, dengan jumlah keseluruhan pelajar seramai 1,146 orang dan 107 orang guru.
Semasa penubuhannya, sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Menengah Inggeris Bahau (Bahau English Secondary School), namun pada 22 September 1972, namanya telah ditukarkan kepada SMK Datuk Mansor bagi memperingati Menteri Besar Negeri Sembilan pada masa itu, YAB Datuk Mansor Othman.
Kedudukan sekolah ini adalah sangat strategik, iaitu terletak di antara Jalan Juasseh dan Jalan Batu Kikir, kira-kira 3 kilometer dari pekan Bahau. Sejarah awal sekolah bermula pada tahun 1963 dengan menumpang sementara di SK St. Aidan Bahau, di mana pada masa tersebut sebanyak 6 buah kelas dibuka dengan Encik Devadas Dorairaj bertindak sebagai guru besar. Pada Januari 1966, sekolah berpindah ke tapak sekarang. Nama "Sekolah Menengah Inggeris Bahau" dipilih disebabkan penggunaan meluas bahasa Inggeris pada masa tersebut, memandangkan kedudukan bahasa Melayu masih belum kukuh sebagai bahasa pengantar utama.
Pelajar-pelajar yang sebelum ini menuntut di SK St. Aidan telah berpindah ke sekolah baharu ini. Pada peringkat awal, sekolah hanya mempunyai 3 blok bangunan yang merangkumi pejabat pengetua, pejabat guru, pejabat pentadbiran, 18 buah bilik darjah, sebuah bilik mahkamah, sebuah bilik seni dan keusahawanan, sebuah perpustakaan, serta 2 buah makmal sains rumahtangga. Pada masa yang sama, pelajar Tingkatan 4 dan 5 dari SMK Batu Kikir turut berpindah ke sini, menyebabkan sekolah terbahagi kepada dua aliran iaitu aliran Inggeris dan aliran Kebangsaan. Jumlah pelajar pada tahun pertama pembukaan sekolah ialah seramai 27 orang, manakala jawatan pengetua disandang oleh Encik P. A. Madhavan yang berasal dari SMK Port Dickson.
Pada tahun 1969, bahagian menengah aliran Melayu telah dipindahkan ke SMK Batu Kikir. Meskipun begitu, jumlah pelajar bertambah kepada 865 orang dengan 35 orang guru. Disebabkan kekurangan bilik darjah, kelas bagi Tingkatan 1 terpaksa dijalankan pada sesi petang.
Kumpulan pelajar pertama aliran kebangsaan telah menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada akhir tahun 1967. Pencapaian akademik pelajar adalah sangat cemerlang dengan keputusan peperiksaan yang membanggakan. Pada 25 Februari 1969, Menteri Pendidikan Malaysia pada masa itu, YB Khir Johari telah merasmikan Sekolah Menengah Inggeris Bahau. Seterusnya pada 22 September 1969, nama sekolah secara rasminya ditukarkan kepada SMK Datuk Mansor oleh Menteri Besar Negeri Sembilan ketika itu, Datuk Mansor bin Othman. Bagi memenuhi keperluan guru dan pelajar Muslim, sebuah surau telah dibina pada tahun 1983 yang digunakan untuk pelbagai aktiviti.
Padang sekolah siap dibina setahun selepas pembukaan sekolah. Pada tahun 1976, sebuah gelanggang sukan serbaguna (untuk bola tampar, tenis, dan kasut roda) telah dibina hasil usaha serta sumbangan daripada guru, pelajar, dan para dermawan. Bagi memantapkan lagi kemudahan sukan sekolah, gelanggang tenis, bola tampar, dan sepak takraw turut dibina pada tahun 1975.
Sekolah ini turut menyediakan kemudahan asrama bagi pelajar lelaki dan perempuan. Asrama lelaki siap dibina dan mula didiami pada tahun 1973, manakala asrama perempuan mula didiami pada tahun 1979. Sehingga kini, kedua-dua asrama tersebut mampu menampung seramai 186 orang pelajar yang kebanyakannya berasal dari kawasan yang jauh.