Bahagian 60: SMK Bahau
Sekolah Menengah Kebangsaan Bahau terletak di Daerah Jempol, Negeri Sembilan, bertempat di Jalan Rompin iaitu kira-kira 3 kilometer dari pekan Bahau. Sekolah ini dikelilingi oleh ladang getah dan ladang kelapa sawit.
Pada mulanya, sekolah ini menumpang di bangunan SK St. Aidan Bahau dan diuruskan oleh Pengetua SMK Datuk Mansor. Pada 31 Mei 1982, pengurusan sekolah ini telah diambil alih oleh Encik Mohd Hamiyah bin Abdul Hamid sebagai pengetua pertama.
Semasa peringkat awal penubuhannya, sekolah dibuka dengan seramai 13 orang guru serta 315 orang pelajar Tingkatan 1. Pelajar-pelajar sekolah ini terdiri daripada pelbagai kaum iaitu Melayu, Tionghua, India, dan Orang Asli. Mereka berasal dari sekolah rendah jenis kebangsaan Cina dan Tamil di sekitar ladang-ladang Bahau, SK St. Aidan, SK Rompin, dan SK Tunku Muda Serting.
Pada 1 September 1982, sekolah berpindah ke bangunannya sendiri di Jalan Rompin. Sekolah ini dibina di atas tanah seluas 15 ekar termasuk sebuah padang permainan. Pada awal tahun 1984, dua aliran telah diperkenalkan iaitu aliran Sastera dan aliran Sains Rumahtangga/Teknikal. Pengetua pada masa tersebut ialah Encik Shamsudin bin Abdul Ghani.
Pada asalnya, sekolah hanya terdiri daripada Blok A, B, C, D, dan E sahaja. Blok F dibina pada tahun 1989, manakala Blok G dibina pada tahun 1990. Kemudahan-kemudahan ini memberikan keselesaan kepada guru dan pelajar untuk menjalankan aktiviti kurikulum dan kokurikulum.
Pada tahun 1993, wajah sekolah berubah lagi dengan pembinaan Blok Kemahiran Hidup yang baharu, Makmal Sains Tulen, serta Bangunan Sains Pertanian. Ini memudahkan warga sekolah, terutamanya pelajar yang berkelayakan, untuk memasuki kelas aliran Sains Tulen.
Pada tahun 1987, Encik Chong Chin Sang menggantikan Encik Shamsudin sebagai pengetua sehingga tahun 1992. Kemudian, Encik Kwan Ken Kwek menerajui sekolah ini sehingga akhir tahun 1997. Sekolah ini dinaik taraf kepada Gred A pada tahun 1998. Encik Othman Daud hanya memegang jawatan pengetua selama lima bulan kerana beliau dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Pendidikan Daerah Seremban/Port Dickson.
Puan Salma binti Mustafah berkhidmat sebagai pengetua sehingga 15 Disember 2000 dan digantikan oleh Puan Hajah Naemah binti Mohd Sahib sehingga 15 Ogos 2001. Selepas itu, Tuan Haji Adnan bin Yasin berkhidmat sebagai pengetua sekolah ini sehingga 30 Disember 2004.
Pada 1 Januari 2005, Encik Cheah Lef Ngah mengambil alih kepimpinan sekolah. Dalam tempoh dua bulan selepas Encik Cheah Lef Ngah meninggalkan SMK Bahau untuk menerajui SMK Desa Puteri, Puan Hajah Kamilah turut berpindah ke SMK Triang Hilir, manakala jawatan pengetua disandang oleh Encik Paramasivam A/L Manickam. Beliau bersara wajib pada 31 Disember 2011. Pada 1 Januari 2012, Encik Vellan A/L Raman menjadi pengetua baharu SMK Bahau.